TULISAN TANGAN KIRI...

[BELOG INI AKU TAK HARAP ORANG FAHAM ATAU JERIT 'TAK FAHAM!!!']
*sesi bercakap dengan diri sendiri.
*tuan puan nak kata apa, akutakpeduli!
"Hidup tidak selalunya indah, langit tak selalu cerah, suram malam tak berbintang, begitu aturan Tuhan...."

Ahad, 16 September 2012

apakah memang begini

dengar ini mahu aku ceritakan.
aku di sini untuk merasa nikmat yang kau katakan syurga.

hilang diri terhuyung hayang
di celahan manusia yang tidak pernah aku kenal siapa.

aku jadi sedikit keliru.
mungkin juga jijik dengan setiap pelakunya.

dengan muka merah padam mereka berdansa gembira.
bercumbu cumbu di setiap sudut tanpa rasa ternoda.
menjelajah di setiap inci dengan penuh rasa bangga.

dan sedikit demi sedikit
terlucut setiap helaian benang yang tadinya
setia membalut maruah yang masih ada tersisa.

mereka itu seakan berkata;
"ambil lah. ambil lah setiap yang ada.
aku beri dengan penuh rela."

apakah memang begini caranya anak muda kita?
semuanya sudah jadi terbiasa.

lalu aku pulang--
dengan sedikit rasa loya.

Sabtu, 15 September 2012

cumbu

di celahan manusia kaku.
aku lihat kau bercumbu-cumbu.

membuat orang lain cemburu.

aku di sudut tepi itu terpaku.
dalam diam melihat kau bercumbu.

tertanya aku--
semalam bercumbu dengan aku.

tapi--

kenapa hari ini kau dan dia di situ?

Rabu, 15 Ogos 2012

abah aku


tulisan ini adalah tulisan tergendala aku semasa kelas pnulisan kreatif. masa tu aku tak ada idea. ini aku lakarkan saja sementara idea datang. nanti aku kemaskan kemudian.


Abah
Disuruh bercerita tentang abah, aku jadi kosong.
Bukan kerana tiada apa yang boleh dikata tentang abah.
Tapi tentang rasa aku pada abah.
Menjadi satu satunya anak perempuan untuk abah bukan senang
Bukan senang untuk aku, dan aku tahu sangat bukan senang untuk abah.
Di waktu kanak2, aku manja sama abah.
Abah sabar dengan segala kerenah aku.
Abah turutkan semua.
Setiap hari ke sekolah, abah akan hantar dan jemput.
Tanpa jemu, abah lakukannya setiap hari.
Segala mahu aku, abah berikan semua.
Untuk aku.

Abah
Kalaulah abah tahu
Di suatu hari yang aku lupa bila harinya.
Satu ayat buat hati sentap
Kata kawan
‘kau anak perempuan sorang mesti semua kau nak kau dapat, anak manja abah’
Cukup cuma itu, aku jarakkan abah dan aku.
Aku tak mahu dipanggil anak manja abah.
Manja. Aku tak mahu.
Aku mahu bukti pada semua.
Aku boleh tanpa abah.
Semenjak itu, semuanya aku buat tanpa abah.
Semampu aku.

Abah
Semakin aku menginjak dewasa.
Aku hidup ikut cara aku.
Kata2 abah bagai mencurah air ke daun keladi.
Aku sudah besar abah.
Aku tahu nak buat apa.
Darah muda aku pantang ditegur.
Sedikit saja salah aku, jangan ditegur lebih lebihan.
Libasan penyapu mahupun penyangkut baju sudah sebati sama aku.
Leteran abah aku biarkan saja terhilang sendiri.
Pernah sekali dan terakhirnya penerajang abah hinggap ke badan aku.
Aku cuma mencuri keluar dari asrama sebentar.

Abah
Aku tahu,aku bukan anak sempurna sepertimana mahu abah.
Maka aku biarkan saja.
Kenapa abah tak pernah tanya apa mahu aku?
Hari2 seterusnya aku lalui tanpa rasa untuk abah.
Sehingga aku menjejak kaki ke university.
Tempat bergantung aku adalah ibu dan abang.
Tidak mahu aku kaitkan abah.
Kalau telefon cuma bertanya khabar ibu dan adik2.
Tiada langsung tentang abah.
Kerana aku tidak mahu tahu tentang abah.

Tembok yang aku bina antara aku dan abah runtuh bila ibu pergi.
Abah hilang kekuatannya.
Abah hilang tegap rusuknya.
Aku lihat jelas di mata abah.
Sekarang,
Walau aku tak pernah rindu untuk jadi anak manja abah.
Tapi aku tetap mahu dipanggil anak abah.
Tanpa aku sedar,
Kentalnya aku, degilnya aku.
Hanya kerana suatu masa dulu
Aku pernah berpeluang jadi anak manja abah.